Selangkah Ke Perpustakaan Sejuta Ilmu Pengetahuan

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh telah dibuka pada bulan Disember 1995 dengan bilangan guru dan staf sokongan ketika itu seramai 50 orang.  Pada 4 Januari 1996, sekolah mula beroperasi dengan bilangan pelajar seramai 1,500 orang yang mendaftarkan diri dari kelas peralihan hingga tingkatan lima.

Pada mulanya, bilangan guru yang melaporkan diri adalah seramai 26 orang.  Bilangan ini meningkat menjadi 63 orang pada 1 Mac 1996.  Selain kelas akademik biasa, terdapat juga kelas khas yang menempatkan pelajar-pelajar istimewa.  Bermula dengan sebuah kelas yang hanya memuatkan 7 orang pelajar bawah bimbingan 2 orang guru, kini menjadi 9 buah kelas dengan 60 orang pelajar dan dibimbing oleh 16 orang guru.

Dengan keluasan kawasan seluas 10 ekar dan dikelilingi oleh taman-taman perumahan, di samping kedudukannya lebih kurang 500 meter dari pekan Gunung Rapat dan kira-kira 10 kilometer dari pusat Bandaraya Ipoh, pelbagai kemudahan asas tersedia mengikut piawaian sekolah 36 bilik darjah Kementerian Pelajaran Perak. 

Perasmian sekolah ini telah disempurnakan oleh D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah pada 13 Jun 1998.

Pengetua pertama yang menerajui pentadbiran SMK Seri Ampang ialah Tuan Haji Rozali Bin Haji Suradi  (02/12/1995 hingga 15/02/1996), diikuti oleh Encik Mohd Rauhi Bin Mohd Isa (16/02/1996 hingga 31/08/2001) kini mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Tuan Haji Mustaffa Bin Haji Shaari (01/09/2001 hingga 31/05/2007),kini bersara, Tuan Haji Muhammad Nawawi bin Yaakob (01/06/2007 hingga 23/08/2009), kini Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Negeri Perak, dan seterusnya Encik Zokronain Bin Abdullah (24/08/2009 hingga kini).

Setelah hampir 15 tahun penubuhannya, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh telah mencipta banyak kejayaan.  Antaranya, berjaya bergelar Johan Pertandingan 3K Negeri Perak, Johan Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri Perak dan Johan Pertandingan Landskap Hari Bandaraya Ipoh Kategori Sekolah Menengah.  Kejayaan terbesar yang pernah dicipta oleh SMK Seri Ampang, Ipoh ialah berjaya mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records kerana mencipta sejarah menjahit Jalur Gemilang Terbesar dan Sijil Pengiktirafan ditandatangani sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamed pada satu majlis ringkas di padang STAR Ipoh tanggal 25 Ogos 2001.

Kini Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh giat membangun dengan penekanan terhadap aspek kecemerlangan kurikulum, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan serta aspek-aspek keselamatan, keceriaan dan kebersihan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

No comments:

Post a Comment