Sepanjang 23 Julai 2012 hingga 27 Julai 2012, pihak pengurusan PSS telah mengadakan Minggu Pusat Sumber bagi tahun 2012. Majlis Pelancaran Minggu PSS telah diadakan pada hari Isnin 23 Julai 2012 dan dimulai dengan bacaan surah Al Alaq oleh Saudara Mohd Taufik (3KAA) diikuti dengan terjemahannya oleh Saudara Richie Abdullah (4Sains 2). Seterusnya majlis diteruskan dengan taklimat Minggu PSS oleh GPM, Puan Zuriana binti Muhamad yang
menyatakan antara lainnya objektif pihak pengurusan mengadakan Minggu PSS dan
mengumumkan senarai aktiviti yang dirancang agar para pelajar dapat
bersama-sama melibatkan diri secara aktif dan berusaha merebut
peluang-peluang yang disediakan bagi menambah ilmu di samping
menyerlahkan bakat dan kreativiti pelajar. Bagi menyempurnakan majlis ini, Encik Zokronain bin Abdullah, Tuan Pengetua SMKSA mengambil tempat bagi menyampaikan ucapan perasmian. Dalam ucapan beliau, beliau menekankan akan pentingnya penggunaan PSS dalam kalangan pelajar dan menyeru agar para pelajar dapat menggunakan PSS dengan sebaik-baiknya dalam membantu perkembangan P & P di sekolah. Acara kemuncak ialah gimik pelancaran berupa ketibaan 'control car' bawah kawalan Encik Muhamad Fauzi bin Mansor yang membawa watikah pelancaran untuk diserahkan kepada Tuan Pengetua seterusnya pukulan gong bagi menandakan Minggu PSS 2012 bermula secara rasminya.
Pusat Sumber Sekolah SMK Seri Ampang
Selangkah Ke Perpustakaan Sejuta Ilmu Pengetahuan
Friday, 3 August 2012
Sunday, 29 July 2012
PEMANTAUAN PSS CEMERLANG 2012
Pada 23 Mei 2012, PSS SMK Seri Ampang dilawati oleh 4 pegawai Teknologi Pendidikan dari 4 PKG yang berbeza dalam Daerah Kinta Utara iaitu Puan Samsiah binti Bugiman (PKG Manjoi), Wan Maszaitul Laili bin Mior Rohidi (PKG Dato' Panglima Kinta), Jamaluddin bin Ahmad (PKG Lahat) dan Meor Mohd Muazam bin Mior Rohidi (PKG Sungai Pari). Lawatan tersebut bertujuan sebagai pemantauan pertama yang merupakan salah satu syarat dalam memilih PSS untuk dianugerahkan sebagai PSS Cemerlang. Ketibaan mereka disambut oleh GPM. Dari tempat letak kereta menuju ke pejabat sekolah, keempat-empat mereka dibawa melalui laluan-laluan dan taman-taman ilmu yang terdapat di persekitaran SMK Seri Ampang. Seterusnya rombongan pemantauan tersebut dibawa ke pejabat untuk bertemu dengan Tuan Pengetua SMKSA, Encik Zokronain bin Abdullah bagi menyatakan tujuan kehadiran mereka. Lebih kurang 20 minit mengadakan perbincangan dengan Tuan Pengetua, mereka dibawa naik ke Pusat Sumber yang terletak di aras dua Blok B. Pelbagai perkara yang dibincangkan bersama-sama GPM dan Guru NILAM dan tentunya pemantauan terhadap fail-fail dan rekod-rekod penggunaan menjadi topik utama. Di samping itu, keempat-empat mereka juga turut memberi pelbagai idea dan pandangan untuk memantapkan lagi PSS SMK Seri Ampang. Pemantauan berakhir dengan sedikit jamuan ringkas di kantin. Tidak lupa juga pesanan-pesanan yang diberikan menjelang lawatan akan datang pada bulan Jun untuk Pemantauan Kedua nanti.
Majlis Pelantikan Badan Kepimpinan Pelajar 2012
Sekali lagi SMKSA mengukir sejarah tersendiri dengan mengadakan Majlis Pelantikan Badan Kepimpinan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh pada Februari 2012 yang melibatkan Badan Pengawas Sekolah, Badan Pengawas Pusat Sumber Sekolah dan Organisasi Bilik Darjah. Majlis diserikan dengan perarakan bunga manggar menyambut ketibaan tetamu kehormat seterusnya memeriksa barisan dan diikuti dengan merasmikan majlis. Ketua pelajar, Saudara Khairul Anas (5S2) mengetuai lafaz ikrar Badan Kepimpinan dengan diiringi oeh Pengerusi Badan Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Saudara Wong Koon Ying (5S2) dan Saudara Ismail Hakim (5S3) selaku Pengerusi Organisasi Bilik Darjah (OBD). Diharapkan pelajar-pelajar yang terlibat dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh adil, komited dan tanggungjawab.
Saturday, 28 July 2012
Kem Pengawas PSS
Bagi memupuk semangat kerjasama antara pengawas PSS, kem 1PSS telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan PSS pada 16 Jun 2012. Antara lain kem ini bertujuan untuk mendidik dan memupuk semangat kerjasama dan toleransi dalam kalangan pengawas-pengawas PSS di samping menyedari perlunya semua pengawas mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Kemesraan yang terjalin antara pengawas PSS diharapkan dapat memudahkan segala tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan agar sama-sama dapat meningkatkan kredibiliti dan imej PSS dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada warga SMKSA. Sebaik sahaja selesai pendaftaran, kem bermula seawal 7.30 pagi dengan slot 'Peka dan Prihatin' yang dikelolakan oleh guru kaunselor pelatih UPSI, Encik Muhamad Fauzi bin Mansor. Selepas menikmati sarapan pagi pada jam 9.15 pagi, kem diteruskan dengan permainan sukaneka. Pelbagai permainan dijalankan bagi membentuk semangat kerjasama dalam kalangan ahli pasukan. Kredit harus diberikan kepada saudara pengerusi pengawas PSS, Wong Koon Ying bersama-sama ahli-ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus merancang sebulan dari awal dan menjayakan sukaneka tersebut bawah pemantauan Puan Zuriana binti Muhamad selaku GPM. Kem berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Majlis penyampaian hadiah dijalankan pada hari Isnin berikutnya, 18 Jun 2012 ketika perhimpunan rasmi sekolah. Yang pasti, semua pengawas PSS yang menyertai kem ini menunjukkan kepuasan dan terserlah kegembiraan pada wajah masing-masing. Semoga kem seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada tahun-tahun akan datang.
Subscribe to:
Posts (Atom)