Pada 23 Mei 2012, PSS SMK Seri Ampang dilawati oleh 4 pegawai Teknologi Pendidikan dari 4 PKG yang berbeza dalam Daerah Kinta Utara iaitu Puan Samsiah binti Bugiman (PKG Manjoi), Wan Maszaitul Laili bin Mior Rohidi (PKG Dato' Panglima Kinta), Jamaluddin bin Ahmad (PKG Lahat) dan Meor Mohd Muazam bin Mior Rohidi (PKG Sungai Pari). Lawatan tersebut bertujuan sebagai pemantauan pertama yang merupakan salah satu syarat dalam memilih PSS untuk dianugerahkan sebagai PSS Cemerlang. Ketibaan mereka disambut oleh GPM. Dari tempat letak kereta menuju ke pejabat sekolah, keempat-empat mereka dibawa melalui laluan-laluan dan taman-taman ilmu yang terdapat di persekitaran SMK Seri Ampang. Seterusnya rombongan pemantauan tersebut dibawa ke pejabat untuk bertemu dengan Tuan Pengetua SMKSA, Encik Zokronain bin Abdullah bagi menyatakan tujuan kehadiran mereka. Lebih kurang 20 minit mengadakan perbincangan dengan Tuan Pengetua, mereka dibawa naik ke Pusat Sumber yang terletak di aras dua Blok B. Pelbagai perkara yang dibincangkan bersama-sama GPM dan Guru NILAM dan tentunya pemantauan terhadap fail-fail dan rekod-rekod penggunaan menjadi topik utama. Di samping itu, keempat-empat mereka juga turut memberi pelbagai idea dan pandangan untuk memantapkan lagi PSS SMK Seri Ampang. Pemantauan berakhir dengan sedikit jamuan ringkas di kantin. Tidak lupa juga pesanan-pesanan yang diberikan menjelang lawatan akan datang pada bulan Jun untuk Pemantauan Kedua nanti.
No comments:
Post a Comment